comscore
Tumpuan :
Jenayah

MAQIS Rampas 210 Kg Keratan Ayam Tanpa Permit Dari Singapura

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas keratan ayam sejuk beku seberat 210 kilogram yang cuba diseludup dari Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di Iskandar Puteri pada Rabu lepas.

Pengarahnya Edie Putra Md Yusof berkata keratan ayam itu ditemukan pegawai penguat kuasa MAQIS di dalam bonet sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30-an pada pukul 9 malam.

“Pegawai penguat kuasa menemukan 14 kotak keratan ayam sejuk beku yang cuba dibawa masuk tanpa permit import MAQIS dan Sijil Kesihatan Veterinar menggunakan kenderaan persendirian di laluan import penumpang kereta.

“Hasil dagangan bernilai RM3,580 itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Edie Putra berkata individu itu juga telah dilepaskan pihaknya setelah keterangan diambil.

Menurutnya sebarang keluaran pertanian yang diimport tanpa permit import MAQIS adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan Seksyen 11(3) Akta yang sama. – BERNAMA

Loading...
Terkini