comscore
Tumpuan :
Jenayah

MAQIS sekat barang tanpa permit sah

Antara yang dirampas MAQIS dalam Ops 2.0 pintu masuk Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Jumaat lalu. Ihsan MAQIS

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas pelbagai jenis tumbuhan, binatang, ikan dan hasil pertanian berjumlah RM91,774.57 dalam Ops 2.0 di pintu masuk Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Jumaat lalu.

Menerusi satu kenyataan, MAQIS memaklumkan antara kesalahan dikesan adalah kegagalan mengemukakan permit import dan eksport yang sah.

“Pengimport tidak patuh terhadap syarat-syarat permit, pengisytiharan dokumen yang mengelirukan dan ketidakpatuhan syarat-syarat penggredan, pembungkusan dan perlabelan (GPL).

“Rampasan yang dibuat ini juga termasuk rampasan 2,801 ekor ikan hiasan air tawar pelbagai spesis,” katanya, hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Tegas MAQIS, pihaknya sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Loading...
Terkini