comscore
Tumpuan :
Jenayah

Maritim Malaysia Johor gagalkan cubaan seludup rokok

PONTIAN: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor merampas rokok yang cuba diseludup dari negara jiran di perairan Pontian awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata, rampasan itu dilakukan oleh sebuah bot ronda APMM yang sedang melaksanakan OP JAKSA dan OP KHAS SAPU AIR (IKSA) 2022.

Beliau berkata, pada jam 1.30 pagi itu, pihaknya mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran dan kelibat beberapa individu dalam keadaan mencurigakan di pesisir pantai Telok Kerang, di sini.

“Namun individu terbabit yang dipercayai empat orang bertindak melarikan diri dengan meninggalkan bot yang digunakan apabila menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan awal, lima kotak mengandungi rokok kretek dalam bot berwarna biru dan pada masa sama enam kotak lagi berada di tepi pantai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan selanjutnya sebanyak 29 kotak lagi ditemui dalam sebuah kenderaan van Toyota berwarna putih yang juga tidak jauh dari pantai itu.

Nurul Nizam berkata, semua rokok seludup pelbagai jenama itu untuk dijual di negara ini.

Berikutan itu, pihaknya menyita sebuah bot gentian kaca berserta enjin jenama Yamaha 40 kuasa kuda, sebuah van dan 40 kotak rokok dan dibawa ke Jeti Maritim Johor Sungai Pulai untuk diserah kepada pegawai penyiasat.

“Nilai rampasan rokok berjumlah RM456,000 dan keseluruhan rampasan termasuk bot fiber berserta enjin dan sebuah van bernilai anggaran RM500,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, sebarang maklumat boleh hubungi Pusat Operasi Maritim Johor di talian 07-2199401.

Loading...
Terkini