LAHAD DATU: Budak lelaki berusia 11 tahun maut ditetak oleh rakan bapa tirinya.
Kejadian berlaku di depan rumahnya di Perumahan Pekerja Felda Sahabat 30, di sini, jam 7.30 pagi tadi.
Difahamkan ketikan insiden ini, mangsa ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya bersama suspek kerana keluar bekerja sebagai pekerja am di ladang kelapa sawit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, siasatan di tempat kejadian menemui mayat kanak-kanak lelaki terbabit dalam keadaan berlumuran darah.
“Terdapat kesan tetakan oleh objek tajam dipercayai parang pada bahagian belakang kepala, hadapan dan belakang leher serta tapak tangan kiri mangsa putus.
“Polis sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Paulus Poka Lolo berusia 33 tahun dan bekerja sebagai pekerja am di ladang kelapa sawit berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rohan berkata, siasatan mendapati suspek adalah rakan bapa tiri mangsa dan melarikan diri selepas kejadian.
“Motif kejadian belum dikenal pasti. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati,” katanya.