
Serdang: Beberapa kesan pukulan objek tumpul di seluruh badan menjadi punca kematian kerani kewangan yang mayatnya disumbat di dalam guni plastik di sebuah stor buruk di Taman Bukit Serdang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, proses bedah siasat terhadap warga India berusia 41 tahun itu dijalankan jam 10 pagi hingga 6 petang semalam.
Artikel berkaitan: 13 ditahan kes mayat dalam guni
“Proses bedah siasat itu dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Serdang.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan beberapa kesan pukulan objek tumpul pada seluruh tubuh badannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Artikel berkaitan: Mayat mangsa bunuh ditemui dalam guni
Semalam, Harian Metro melaporkan 13 individu termasuk tiga wanita ditahan di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh kerani kewangan yang bekerja di syarikat besi buruk.
Anbalagan dilaporkan berkata, tiga suspek wanita yang juga ahli keluarga majikan mangsa dibebaskan semalam selepas keterangan mereka dirakam.
Katanya, 10 lagi individu terdiri daripada majikan mangsa yang juga suspek utama, ahli keluarganya dan rakan sekerja berusia lingkungan 20-an hingga 58 tahun.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menemui mayat lelaki tanpa identiti ditemui disumbat di dalam guni plastik di sebuah stor dipercayai dibunuh.