comscore
Tumpuan :
Jenayah

Mayat dipercayai warga asing ditemukan dalam semak

Foto hiasan

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing dengan kesan kecederaan di kepala ditemukan dalam semak berhampiran Institut Pengurusan Peladang, Tanjong Karang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata polis menerima laporan dari orang awam berkenaan penemuan mayat tersebut jam 9.10 pagi dan hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dalam semak dan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala.

Beliau berkata mangsa dipercayai warga asing kerana tiada tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemukan pada mayat berkenaan.

“Berhampiran mayat yang berusia lingkungan 40an itu, terdapat sebuah motosikal jenis Modenas warna putih, berjarak lebih kurang tiga meter,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ramli berkata hasil siasatan pakar forensik di tempat kejadian mendapati, kematian mangsa berpunca dari unsur jenayah berdasarkan kesan luka pada bahagian kepala dan mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada jam 2 petang esok.

Beliau berkata kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

Loading...
Terkini