comscore
Tumpuan :
Jenayah

Mayat pengawal keselamatan ditemui dalam bonet kereta

SABAK BERNAM: Mayat seorang pengawal keselamatan ditemui dalam bonet sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) jam 6.04 petang.

Beliau berkata, anggota polis memaklumkan terjumpa kereta Proton Saga BLM hitam yang mencurigakan diparkir di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bonet kereta.

“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 43 tahun bekerja di daerah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di lokasi mengesahkan terdapat unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu kesalahan bunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 03-32242222,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini