comscore
Tumpuan :
Jenayah

Mayat reput lengkap berpakaian ditemukan terapung di perairan Pangkor Laut

LUMUT: Satu mayat tanpa identiti yang sudah pun mereput ditemukan terapung di perairan Pangkor Laut berhampiran Pulau Pangkor, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata laporan penemuan itu diterima pihak polis menerusi panggilan oleh orang awam pada jam 12.18 tengah hari.

Beliau berkata, anggota dari Balai Polis Pulau Pangkor bersama anggota Polis Marin Kampung Acheh dengan dibantu oleh anggota bomba Pulau Pangkor ke tempat kejadian pada jam 12.50 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa yang memakai seluar denim berwarna biru serta berbaju merah, pihak polis tidak menjumpai sebarang pengenalan diri dan jantina mayat itu masih belum dikenal pasti.

“Polis percaya, tempoh masa mayat berkenaan berada dalam laut sudah melebihi dua minggu berdasarkan keadaannya yang reput dan pakaian berlumut,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohamad Nordin berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Jelasnya, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222,” katanya.

Loading...
Terkini