comscore
Tumpuan :
Jenayah

Mengamuk tak puas hati dengan abang

Foto hiasan.

AMPANG JAYA: Gara-gara tidak puas hati ahli keluarga menjamin abangnya yang ditahan atas kesalahan dadah, seorang lelaki bertindak mengamuk di rumahnya di Taman Lembah Maju, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengadu yang juga abang suspek berusia 36 tahun terdengar adik kandungnya mengamuk di dalam rumah dan mengeluarkan kata-kata ugutan jam 12 tengah hari tadi.

“Suspek berusia 28 tahun juga bertindak memecahkan semua barang di dalam rumah pengadu dan turut memegang pisau.

“Pengadu yang bekerja sebagai pemandu teksi mengalami kerugian kerosakan membabitkan perabot, pintu, siling dan atap rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, kejadian itu dipercayai akibat suspek tidak berpuas hati kerana keluarga menjamin pengadu yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah pada 2 November lalu di daerah ini.

“Susulan laporan itu, kami menahan suspek yang juga penganggur di sekitar Pandan Indah jam 12.45 tengah hari tadi.

“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai tiga rekod membabitkan kesalahan dadah,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Ampang, esok.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan melakukan khianat,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini