comscore
Tumpuan :
Jenayah

Mengandung 5 minggu, pelajar kolej buat laporan palsu dakwa dirogol

 

Foto hiasan

JEMPOL: Bimbang kandungan akibat hubungan terlarang diketahui keluarga, seorang pelajar kolej membuat laporan palsu mendakwa dirinya menjadi mangsa rogol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pelajar berusia 20 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir pada jam 7.26 malam tadi.

Katanya, polis menjalankan siasatan termasuk merakam keterangan mangsa yang mendakwa dirogol pada jam 6.15 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Serting Ilir, Bahau.

“Pelajar itu mendakwa dirogol selepas kediamannya dimasuki lelaki tidak dikenali yang memakai pakaian hitam dan bertopeng.

“Pihak forensik tidak menjumpai spesimen atau air mani di tempat kejadian.

“Pelajar itu kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan lanjut dan hasil pemeriksaan mendapati pelajar itu tidak mengalami kecederaan sebaliknya telah mengandung lima minggu,” katanya hari ini.

Tambahnya pemeriksaan ke atas telefon bimbit pelajar itu mendapati terdapat perbualan antara teman lelakinya yang mencurigakan.

Katanya, ketika di soal siasat pelajar itu mengaku memalsukan laporan dan kejadian rogol itu adalah rekaan semata-mata.

“Pelajar itu membuat laporan palsu disebabkan telah mengandung hasil hubungan dengan teman lelakinya dan takut diketahui oleh keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini