comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

Menghendap Satu Kesalahan Jenayah

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat, semalam, meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah, yang menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan.

RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 diluluskan sebulat suara selepas dibahas Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, kedua-dua RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati berkata, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 membabitkan peruntukan berhubung kesalahan menghendap atau stalking, manakala RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 membabitkan peruntukan perlindungan kepada mangsa berhubung perlakuan kesalahan berkenaan.

Menurut beliau, mangsa perbuatan menghendap boleh memohon mendapatkan perintah perlindungan sebaik sahaja pelaku kesalahan itu disiasat polis.

Beliau berkata di bawah Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022, perintah perlindungan dimohon mengikut Seksyen 98A(1) secara ex parte, dengan permohonan itu boleh dikemukakan oleh mangsa, wakil mangsa, penjaga kanak-kanak atau Orang Kurang Upaya.

“Di bawah pindaan ini juga, apabila selesai kes di mahkamah dan sekiranya ia berlaku lagi, mangsa boleh memohon semula (perintah perlindungan) dan mahkamah dengan budi bicara boleh memberi perintah perlindungan baharu kepada mangsa,” katanya ketika menggulung rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Loading...
Terkini