comscore
Tumpuan :
Jenayah

Mercun bola antara komponen ‘bom’ bunuh tukang masak

AMPANG: Seorang daripada dua suspek yang ditahan membunuh tukang masak menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) di hadapan sebuah restoran dekat Pandan Indah di sini pada 29 Disember lalu, mempunyai kemahiran bidang pendawaian dan elektrik.

Suspek lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan itu, dipercayai menggunakan kemahiran terbabit untuk menghasilkan IED yang digunakan dalam pembunuhan berkenaan.

Dia juga dikatakan mempunyai minat menghasilkan bahan letupan, selain mempelajari cara pembuatannya dengan merujuk kepada video dalam talian.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata siasatan mendapati bahan letupan terbabit dihasilkan sendiri oleh suspek, berdasarkan pelbagai barangan yang dirampas dalam serbuan di kediamannya di Serdang, Kedah.

“Polis menemui pelbagai barangan dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam menghasilkan bahan letupan buatan sendiri di kediamannya, antara yang ditemui ialah bilah mata pisau pemotong kertas dan mercun bola.

“Buat masa ini siasatan mendapati motif kejadian ini adalah bersifat peribadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Setakat ini, kita sudah merakam keterangan 36 saksi untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.55 malam itu, tukang masak sebuah restoran berusia 28 tahun maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.

Mangsa cedera parah pada badan dan tangan dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini