comscore
Tumpuan :
Jenayah

Methaphetamine bernilai hampir RM5 juta dirampas

FOTO: NSTP

NILAI: Sindiket dadah bertindak berani apabila membawa 154 kilogram (kg) methaphetamine dianggarkan bernilai hampir RM5 juta menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) dari utara ke Lembah Klang.

Kenderaan utama berkenaan dibantu dua tonto sebelum berhenti di tepi Lebuhraya Utara-Selatan dekat susur keluar Sungai Buaya, Selangor dalam keadaan mencurigakan akibat kesesakan trafik, pada 14 Mei lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Ribuan Abdullah berkata, susulan tindakan itu, pihak berkuasa memeriksa SUV terbabit dan menemui empat bagasi berisi paket berlogo durian dipercayai mengandungi methaphetamine.

“Bertindak atas maklumat, pasukan dari Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menjalankan operasi khas di lokasi itu pada jam 4.40 petang.

“Pasukan memeriksa SUV jenis Proton X50 yang berhenti di lorong kecemasan dan menemui empat bagasi mengandungi bahan kristal jernih disyaki methaphetamine,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pemandu SUV terbabit yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan bersama methaphetamine dengan berat kasar 154 kg dianggarkan bernilai hampir RM5 juta.

“Susulan tangkapan itu juga, pasukan menahan pemandu dan penumpang Toyota Vios masing-masing berusia 24 dan 29 di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur.

“Turut ditahan sebuah Perodua Myvi di Taman Perindustrian Belmas Johan, Rawang, Selangor bersama pemandu seorang lelaki berusia 34 tahun. Ketiga-tiga lelaki itu adalah tonto bagi kenderaan utama,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket mengedar dadah terbabit yang diperoleh dari utara dipercayai diseludup dari negara jiran sebelum dibawa ke Lembah Klang melalui jalan darat.

“Pergerakan sindiket ini menggunakan khidmat tonto bagi memastikan pergerakan dadah berjaya. Mereka menggunakan kenderaan sewa,” katanya.

Ribuan berkata, suspek utama direman selama 14 hari sehingga 28 Mei depan manakala tiga tonto direman 10 hari sehingga 24 Mei ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini