comscore
Tumpuan :
Jenayah

Minuman Keras Bernilai Lebih RM1.5 Juta Dirampas

FOTO: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah – Unit I (WPKL)/Facebook

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah merampas dua kontena berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta termasuk cukai dalam dua serbuan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, 23 Ogos lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Mohammad Sabri Saad berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena dalam serbuan pada 5 hingga 6.30 petang itu menemukan keseluruhan 42,630.66 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM334,810.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diisytiharkan dalam borang kastam, dagangan itu dinyatakan sebagai ‘Nut and Washer’ dan ‘Bolt Washer’ dari negara jiran.

“Kedua-dua kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. Ejen atau wakil penghantaran bagi sebuah kontena telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Jabatan Kastam Zon Tengah di Kelana Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya percaya minuman keras itu dibawa dari Timur Tengah selain tidak menolak penglibatan sindiket atau kongsi gelap dalam kes berkenaan.

Menurut Mohammad Sabri, pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan elak cukai bernilai lebih RM210 juta melibatkan 911 kes sejak Januari hingga 26 Ogos lepas dengan 75 peratus daripadanya adalah rokok dan minuman keras.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tampil membantu membanteras penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini