comscore
Tumpuan :
Jenayah

Murid Sentiasa Pakai Jaket Bongkar Perbuatan Sering Didera Bapa

Foto: Penyapu, senduk plastik dan rotan digunakan sebagai alat dera mangsa

SUNGAI PETANI : Siasatan awal polis mendapati bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera mengaku memukul anaknya sejak dua bulan lalu kerana mendakwa mangsa degil dan hiperaktif.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang berusia 29 tahun memberitahu sepanjang tempoh itu dia kerap memukul mangsa dengan rotan, penyapu dan senduk plastik.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut kita mendapati mangsa yang juga anak tunggal itu tinggal bersama bapa kandung dan ibu tiri sejak setahun lalu.

“Sebelum ini, mangsa dijaga neneknya yang tinggal di Tanjung Dawai sejak kecil dan dia juga baru berpindah sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek yang juga pekerja kilang itu kini direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Zaidy berkata, rahsia mangsa yang didera itu terbongkar selepas guru kelas curiga melihat muka anak muridnya yang mempunyai kesan merah selain turut memakai jaket dalam kelas.

“Guru terbabit memaklumkan kepada guru penolong kanan yang kemudian membuat pemeriksaan sebelum terkejut apabila mendapati ada kesan calar di badan, lebam siku, luka telinga kiri dan bibir terkoyak dipercayai akibat dipukul.

“Mangsa dibawa guru penolong kanan berkenaan ke balai polis dan turut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, dalam laporan perubatan awal, doktor yang merawat mendapati terdapat kesan lebam baru dan lama di kepala, leher serta badan yang didakwa berpunca daripada penderaan.–HARIAN METRO

Loading...

Terkini