comscore
Tumpuan :
Jenayah

Nafi rakaman audio tular suaranya, Syed Mohd Fazmi buat laporan polis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohamad menafikan rakaman audio yang tular membabitkan perbualannya dengan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, adalah suaranya.

Sehubungan itu, Syed Mohd Fazmi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membuktikan rakaman itu adalah suatu fitnah jahat.

Beliau menyifatkan penularan audio palsu itu adalah satu percaturan politik yang jahat dan jijik, selain konspirasi jahat serta terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya rakaman audio yang tular adalah suara saya…saya terkejut dan kecewa dengan penyebaran audio berkenaan yang kononnya merakamkan perbualan antara saya dengan Mohd Salim yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol.

“Tindakan itu juga membuktikan usaha berterusan untuk memusnahkan reputasi saya sebagai setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Syed Mohd Fazmi berkata, pihaknya berharap siasatan dapat dilakukan bagi mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab di sebalik perbuatan berkenaan.

Sejak beberapa hari lalu, tular sebuah rakaman audio kononnya Syed Mohd Fazmi mendesak Mohd Salim supaya bersama-sama beliau untuk membunuh kredibiliti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Melalui rakaman audio itu, Mohd Salim bersetuju dengan perancangan itu, menyatakan bahawa dalam apa keadaan sekalipun Najib mesti dipenjarakan.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini