comscore
Tumpuan :
Jenayah

Nekad panjat siling elak ditahan

KUALA LUMPUR: Akibat cuba melarikan diri daripada serbuan polis, seorang lelaki cedera selepas terjatuh dari siling sebuah pusat hiburan di Jalan Pahang, malam tadi.

Lelaki yang bekerja di premis itu bersama seorang lagi rakannya kemudian ditahan untuk pemeriksaan.

Serbuan dilakukan menerusi Operasi Club Rats di empat pusat hiburan iaitu di Jalan Pahang, Jalan Klang Lama, Jalan Doraisamy dan Bangsar Baru, di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi membabitkan 17 pegawai dan 93 anggota bermula kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 400 individu diperiksa termasuk 16 pengunjung bawah umur berusia antara 19 hingga 21 tahun.

Operasi berkenaan juga menggunakan khidmat daripada Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mengesan dadah di dalam empat pusat hiburan yang diserbu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon, berkata daripada jumlah itu, seramai 60 individu termasuk 20 wanita ditahan selepas hasil ujian saringan awal dilakukan terhadap mereka positif dadah.

“Dalam operasi ini, ada premis yang kerap diserbu, namun masih berdegil melakukan kesalahan sama termasuk membenarkan pengunjung bawah umur masuk ke dalam pusat hiburan.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini.

Adnan berkata, pihaknya juga ada mengesan kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung di beberapa pusat hiburan di sekitar ibu kota ini.

Katanya, kebanyakan pengunjung yang mengambil bahan terlarang itu menggunakan dadah berbentuk serbuk yang dicampurkan dalam minuman sebagai hiburan.

Loading...
Terkini