comscore
Tumpuan :
Jenayah

Nilai rampasan RM205,288 dengan 25 kes dicatat KPDN Sandakan

FOTO: KPDN Sandakan

Oleh: Safwan Sawi

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan mencatatkan nilai rampasan RM205,288 dengan 25 kes sejak awal tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, jumlah itu adalah hasil daripada pemeriksaan terhadap 1,400 premis perniagaan meliputi kawasan bandar dan luar bandar sepanjang Januari hingga kini.

“Sebanyak 25 kes dihasilkan dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan RM205,288.15 dan jumlah kompaun yang dibayar adalah RM3,100.

“Dari segi aduan pula, sebanyak 26 aduan diterima sejak Januari hingga kini dan 22 daripadanya diselesaikan, manakala baki empat lagi dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

KPDN Sandakan tegasnya ingin mengingatkan semua peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan situasi menjelang bulan Ramadhan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Katanya, sekiranya peniaga didapati menaikkan harga barangan secara tidak berpatutan, tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Mana-mana orang yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini selanjutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Sementara itu, Azdy berkata, pihaknya mengambil tindakan proaktif membuat pemantauan bekalan barang keperluan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit di daerah ini secara berterusan.

Katanya, ia berikutan menjelangnya bulan Ramadhan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada tahun ini.

“Seramai 19 pegawai penguatkuasa dan lapan Pegawai Pemantau Harga di Cawangan ini terlibat secara khusus bagi melakukan pemeriksaan harian khasnya yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar.

“Hasil pemeriksaan mendapati bekalan barang kawalan iaitu gula dan minyak masak bersubsidi adalah mencukupi serta tiada pembelian luar biasa oleh pengguna,” katanya.

Pemeriksaan di salah sebuah syarikat pemborong pula mendapati mereka telah menerima bekalan gula sebanyak 84 metrik tan.

“Pemeriksaan ke atas bekalan minyak masak bersubsidi di salah sebuah pasar raya tumpuan pengguna mendapati masih terdapat bekalan minyak masak bersubsidi berjumlah 3.568 metrik tan,” katanya.

KPDN Sandakan juga melantik 33 peruncit dan lima pemborong terpilih bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di daerah ini.

Peruncit dan pemborong berkenaan akan menjadi penanda aras ke atas bekalan barang keperluan asas yang meliputi kawasan Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Beluran, Sapi Nangoh dan Paitan.

KPDN Sandakan juga telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan mini stok untuk gula dan minyak masak bersubsidi bagi menjamin bekalan barang kawalan ini khasnya di daerah Sandakan.

Dalam pada itu KPDN Sandakan akan memastikan bekalan barang-barang kawalan khasnya gula dan minyak masak bersubsidi dijual pada harga kawalan serta tidak terputus bekalannya.

“Pemeriksaan juga akan dipergiatkan bagi memastikan barang kawalan iaitu gula dan minyak masak bersubsidi dijual pada harga yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sehingga kini, bekalan barangan kawalan adalah mencukupi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini