comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Benteng: 16 PATI warga Myanmar ditahan 

Foto: Ihsan Markas 2 Div

Oleh Kumaran Rajamoney

BUKIT KAYU HITAM: Briged Keenam Infantri Malaysia berjaya mematahkan cubaan sekumpulan 16 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang cuba memasuki negara secara tidak sah.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dilakukan di sektor Op Bentengmelibatkan PATI warganegara Myanmar yang cuba membolosi sempadan Malaysia-Thailand sekitar jam 9 pagi, hari ini.

Dalam kejadian itu, anggota pasukan operasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan pergerakan sekumpulan orang awam yang mencurigakan di laluan Sungai Tangga dan telah menahan kesemua individu tersebut yang cuba bersembunyi di kawasan belukar kebun getah di kawasan Kemajuan Tanah Bukit Tangga.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya seramai 16 orang dan merupakan lelaki warganegara Myanmar berumur antara 19 hingga 51 tahun, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara melalui laluan haram.

Turut dirampas 13 kad pengenalan diri warganegara Myanmar, 5 beg pakaian, 9 unit telefon bimbit, matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM4,519.50.

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Loading...
Terkini