comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Benteng tahan hampir 1,000 PATI

KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tekong haram ditahan selepas dikesan cuba menyeludup masuk ke negara ini.

Penahanan yang dibuat sejak 1 Mei lalu hingga semalam itu membabitkan 822 PATI dan 144 tekong yang cuba memasuki sempadan negara secara haram, khususnya melalui lorong tikus, selain 12 individu yang disyaki penyeludup serta 15 kapal.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kejayaan itu adalah hasil Operasi Benteng yang dilaksanakan empat agensi penguatkuasaan secara bersepadu bagi mengekang jenayah rentas sempadan, serta menyekat penularan wabak COVID-19.

“Operasi Benteng membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), yang mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI.

“PDRM juga membuat 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara semalam, dan memeriksa 45,116 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI, terutamanya di lorong tikus.

“Hasilnya, PDRM berjaya menahan lapan warga asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas menteri mengenai pematuhan PKPP di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semua PATI yang ditahan menjalani saringan COVID-19 dan individu yang positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang untuk rawatan.

Loading...
Terkini