comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Samseng Jalanan: Pelajar sekolah, IPT antara 110 diperiksa

Pelajar IPT awam dan swasta, selain pelajar sekolah menengah antara 110 individu diperiksa menerusi Operasi Bersepadu Samseng Jalanan. – FOTO: NSTP

IPOH: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, selain pelajar sekolah menengah adalah antara 110 individu yang diperiksa menerusi Operasi Bersepadu Samseng Jalanan yang dibuat di Jalan Pasir Puteh dekat Pengkalan Station 18, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata operasi dengan kekuatan keseluruhan 75 penguatkuasa termasuk dari AADK itu memeriksa sebanyak 112 motosikal, dengan 26 daripada motosikal yang diperiksa itu disita.

Menurutnya, sebanyak 257 saman trafik dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan, selain tangkapan dilakukan ke atas empat individu atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan.

“Sepanjang operasi dijalankan, 112 motosikal dan 110 orang berumur antara 14 hingga 36 tahun diperiksa, dan daripada keseluruhan individu yang diperiksa itu terdapat juga sebilangan darinya merupakan pelajar sekolah menengah dan pelajar IPT awam serta swasta.

“26 motosikal yang disita itu adalah atas kesalahan pengubahsuaian pelbagai aksesori atau struktur kenderaan, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Seramai empat individu turut ditangkap mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pemeriksaan ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati semua individu yang diperiksa negatif dari penyalahgunaan dadah.

Op Samseng Jalanan itu membabitkan seramai 53 anggota serta pegawai polis daerah Ipoh, 16 anggota sukarelawan polis, dan enam pegawai serta anggota AADK Negeri Perak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini