comscore
Tumpuan :
Jenayah

OP SELAT | Kereta Mewah Sebagai Upah Bantu Sindiket Pemalsuan Cop Sempadan

Antara kereta mewah yang digunakan oleh anggota imigresen sebagai balasan upah untuk membuat setting kaunter di KLIA 2

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi individu untuk membantu siasatan berhubung sindiket rasuah dalam urusan cop palsu di pintu masuk antarabangsa negara menerusi Op Selat.

Keempat-empat individu berkenaan iaitu seorang pegawai imigresen dan tiga agen pekerja asing ditahan SPRM semalam.

Sindiket pemalsuan cop sempadan melibatkan rangkaian aktiviti jenayah penyeludupan antarabangsa terutama di China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh

Sumber memaklumkan hasil pendedahan mendapati sindiket berkenaan melibatkan rangkaian aktiviti jenayah penyeludupan antarabangsa terutama dari China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh. 

Proses setting di kaunter-kaunter Imigresen khusus di KLIA dan KLIA 2 dibuat oleh sindiket antarabangsa yang terdiri daripada agen-agen di luar negara.

Siasatan mendapati mana-mana pelawat yang disenaraihitam dan ingin masuk ke Malaysia atas aturan sindiket akan dimaklumkan nama, nombor pasport dan jadual penerbangan mereka kepada agen-agen di Malaysia.

Agen-agen akan berhubung dengan pegawai Imigresen di KLIA dan KLIA 2 untuk mengatur kaunter yang akan membantu meloloskan pekerja asing atau pelawat asing masuk dengan mudah ke Malaysia.

Ini termasuk proses keluar dari negara ini disebabkan senaraihitam, pas lawatan tamat tempoh dan pasport palsu dengan hanya kaunter-kaunter tertentu di KLIA dan KLIA-2 akan digunakan oleh pekerja atau pelawat asing.

Setakat ini, seramai 50 orang telah ditahan dalam Op Selat dengan empat tangkapan terbaharu direman antara lima hingga  tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Dianggarkan lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan empat buah motosikal berkuasa tinggi telah dirampas.

Nilai berkenaan tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya yang disita.

Lebih mengejutkan apabila siasatan mendapati seorang anggota imigresen Gred KP 19 mampu memiliki 4 kereta mewah iaitu Roll Royce Phantom, Mustang, Range Rover dan Audi.

Kereta itu didaftarkan atas nama dua warga China yang dipercayai agen pekerja asing China yang beroperasi di Malaysia dan dua agen lelaki tempatan.

SPRM telah mengenal pasti identiti keempat-empat suspek dan sedang mengesan kesemuanya.

Menurut sumber, salah seorang agen tempatan yang membantu menyimpan kenderaan-kenderaan mewah ini, kesemua kereta mewah terbabit digunakan oleh anggota imigresen sebagai balasan upah untuk membuat setting kaunter di KLIA 2.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Loading...
Terkini