comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Operasi mencari jasad Sabari pada hari ketiga tiada sebarang petunjuk

Anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat melakukan operasi mencari di kawasan belukar pada hari ketiga pencarian Sabari Baharom, 62, yang masih hilang selepas keluar dari rumahnya di Baling di Kampung Lubuk Batu.-Foto: NSTP.

JITRA: Operasi pencarian Sabari Baharom, 62, di Sungai Padang Terap pada hari ketiga hari ini, masih belum menunjukkan sebarang petunjuk setakat ini.

Tinjauan di lokasi pencarian di sungai berkenaan berhampiran Jambatan Kampung Lubuk Batu mendapati, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan usaha mengesan mangsa sehingga jam 6 petang tadi.

Operasi dalam radius 13 kilometer itu membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam pada itu, isteri Sabari, Subhiah Roslina Shahibi, 57, yang turut berada di lokasi untuk mengikuti perkembangan suaminya dalam operasi itu sejak pagi tadi, kelihatan tenang dan ditemani saudara-mara serta kenalannya sehingga operasi ditangguhkan.

Subhiah Roslina berkata, dia memberitahu pihak berkuasa akan menghubunginya dari masa ke semasa untuk memaklumkan mengenai perkembangan terperinci mengenai operasi terbabit.

“Saya pun tak pasti operasi SAR ini sampai bila akan dilakukan.

“Polis cuma memaklumkan mereka akan hubungi saya nanti, mungkin mereka perlu mengadakan taklimat atau mesyuarat terlebih dahulu sebelum buat sebarang kesimpulan,” katanya.

Pencarian Sabari yang juga pesara pegawai kewangan Felcra disyaki dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan keadaan tangan terikat dan mulut ditutup pita pelekat dilakukan susulan penahanan dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun pada Jumaat lalu.

Penahahan dua suspek itu bagi membantu siasatan kes kehilangan pesara pegawai kewangan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudiannya ditemui hangus di Belantik, Sik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini