
JOHOR BAHRU: Operator minyak dan gas hilang wang simpanan RM64,894 selepas diperdaya sindiket penipuan kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 34 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, Johor Bahru semalam, selepas menyedari dirinya ditipu.
Beliau berkata, mangsa mendakwa kejadian bermula pada 9 November lalu ketika menerima mesej daripada seorang individu menerusi aplikasi pesanan ringkas.
“Suspek menawarkan peluang kerja sambilan dalam talian menggunakan platform jual beli antarabangsa, dan mengarahkan mangsa mendaftar akaun di laman web tersebut.
“Mangsa diminta membuat penilaian barangan yang dijual dan dijanjikan pulangan wang deposit serta komisen lumayan jika membuat pembayaran terlebih dahulu.
“Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa melakukan 12 transaksi pindahan wang antara 11 November 2024 hingga 28 Januari lalu ke lapan akaun bank berbeza, berjumlah keseluruhan RM64,894.
“Namun, mangsa hanya menerima pulangan AS$50 dan diminta membuat bayaran tambahan. Menyedari dirinya ditipu, mangsa enggan meneruskan transaksi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Raub berkata, hasil semakan dalam pangkalan data Semak Mule mendapati tujuh daripada akaun bank yang digunakan dalam transaksi itu mempunyai 48 rekod penipuan lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.