Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Polis membongkar sebuah makmal haram memproses dadah di Tanjung Bungah di sini, yang beroperasi hampir lima bulan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3 juta ringgit, minggu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, polis turut menahan lima anggota sindiket yang berperanan sebagai ahli kimia dan ko-ordinator.
Katanya, tangkapan dan rampasan dilakukan dalam tiga serbuan serentak oleh JSJN Bukit Aman dan JSJN Pulau kira-kira jam 9.50 malam pada Rabu lepas.
Tiga suspek berusia 32 hingga 53 tahun ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah dua tingkat berkembar di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah yang dijadikan makmal memproses dadah.
Manakala, suspek ke-empat berusia 59 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di Ayer Itam dan suspek terakhir berusia 46 tahun ditahan di sebuah kedai di George Town.
“Polis merampas pil dan serbuk ekstasi seberat 13.9 kilogram (kg), syabu 6kg, ketamin 4.9kg dalam serbuan di rumah di Tanjung Bungah. Bahan kimia dan peralatan yang digunakan untuk proses dadah turut dirampas.
“Rampasan dadah dianggarkan bernilai RM3 juta ringgit di pasaran.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah sewa sebagai makmal memproses dadah dan stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan, terutamanya Pulau Pinang dan Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, pagi tadi.
Ujarnya, daripada lima suspek ditahan, seorang merupakan ahli kimia utama, manakala tiga lagi adalah pembantunya, serta seorang lagi berfungsi sebagai orang tengah di antara ahli dan dalang sindiket.
“Ahli kimia utama yang memproses dadah dibayar gaji RM10,000 sebulan kerana keupayaannya untuk memproses dadah yang banyak.
“Manakala pembantunya pulau dibayar mengikut jumlah dadah yang diproses, iaitu 50 sen bagi setiap pil yang membawa kepada RM1,000 bagi setiap paket yang mengandungi 2,000 pil.
“Sindiket ini juga segera mengeluarkan dadah yang diproses bagi mengelakkan ia dirampas dalam kuantiti banyak oleh pihak berkuasa,” tambahnya lagi.
Katanya, ketua sindiket dan ahli lain masih bebas dan sedang diburu polis.
Polis turut merampas aset milik ahli sindiket iaitu dua buah kereta serta sebuah motosikal bernilai RM89,000.
Empat suspek didapati positif dadah, manakala kesemua lima suspek memiliki rekod kesalahan jenayah dan narkotik.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 13 November bagi siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.