comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pandu kereta di jambatan laluan motosikal, lelaki ditahan bersama dadah 

FOTO: PDRM & FOTO TULAR

IPOH: Insiden sebuah kereta tersangkut pada jambatan laluan motosikal membawa kepada penahanan seorang pemandu kereta berkenaan bersama satu plastik mengandungi dadah di Kuala Kurau, kira-kira 107 kilometer, dari sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Juna Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dipandu suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu sekitar jam 8.45 pagi.

“Anggota ronda Balai Polis Kuala Kurau diarahkan ke tempat kejadian dan mendapati kenderaan tersebut tersangkut di hujung jambatan kerana hanya boleh digunakan motosikal dan mendapati pemandu sedang menjerit-jerit kepada orang awam.

FOTO: PDRM & FOTO TULAR

“Pihak polis kemudian cuba menenangkan keadaan dan mendapatkan maklumat diri pemandu kereta namun beliau enggan bekerjasama dan berlaku pergelutan dalam usaha polis melaksanakan tangkapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik mengandungi dadah pada lelaki yang bekerja sendiri itu.

Katanya pemandu itu ke Balai Polis Batu Kurau sebelum dirujuk ke Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat atau bilik gerakan IPD Kerian di talian 05-7212222 untuk membantu siasatan,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini