comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pandu secara lawan arus di Lebuh Raya Persekutuan, pemandu dicari

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta yang dikesan dipandu secara melawan arus di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke ibu negara awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid berkata satu laporan polis serta kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes berkenaan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya telah mengesan penularan satu rakaman video berdurasi satu minit 6 saat di media sosial.

Rakaman memaparkan sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur berhampiran Petaling Jaya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dan membahayakan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebih 5 tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000  dan hilang kelayakan lesen selama tidak kurang 5 tahun.

Beliau juga menyeru pemilik rakaman video atau pemandu kereta yang terlibat dan mana-mana saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil membuat laporan polis atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini