comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pasangan kekasih dalang tiga aplikasi penstriman haram Astro ditahan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan barangan rampasan selepas sidang media di Menara KPJ Kuala Lumpur hari ini. – FOTO: JSJK PDRM / Facebook

KUALA LUMPUR: Satu sindiket yang disyaki menyediakan pakej siaran Astro menggunakan ladang penstriman haram tumpas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, 14 Mac lalu.

Menerusi serbuan itu, polis menahan pasangan kekasih berusia 53 dan 57 tahun yang dipercayai berperanan sebagai dalang utama yang menghasilkan tiga aplikasi penstriman haram membabitkan siaran Astro.

Operasi sindiket berjaya ditumpaskan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak Astro.

FOTO: JSJK PDRM / Facebook

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata melalui kerjasama itu, siasatan dan pengumpulan maklumat dijalankan sejak tujuh bulan lalu membuahkan hasil.

Katanya, hasil risikan dijalankan, pihaknya akhirnya berjaya bagi mengesan lokasi ‘server’ ladang penstriman haram milik sindiket terbabit yang didapati mengelola dan membangunkan tiga aplikasi penstriman haram.

“Melalui kolaborasi antara tiga agensi ini, satu operasi pembanterasan kegiatan ladang penstriman haram dilaksanakan pada 14 Mac lalu di tiga lokasi berbeza di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Serbuan pertama di sebuah unit kediaman di Sungai Long, Kajang, Selangor, yang mana lokasi disyaki beroperasi sebagai pusat kawalan bagi mengawasi masa henti dan masa hidup ‘server’ di ladang penstriman haram terbabit,” katanya dalam sidang media hari ini.

Lokasi kedua, katanya di Jalan Kovil Hilir, Sentul manakala lokasi ketiga di Taman Genting Setapak, kedua-duanya di ibu kota.

“Lokasi ketiga disyaki beroperasi sebagai ladang ‘server’ penstriman haram yang membekalkan kandungan penyiaran Astro dan stesen-stesen penyiaran antarabangsa yang lain kepada pengguna aplikasi sindiket terbabit.

“Hasil operasi, dua individu warga tempatan berjaya ditahan. Kedua-dua mereka yang berusia 53 dan 57 tahun dipercayai berperanan sebagai dalang utama sindiket ini,” katanya.

Datuk Seri Ramli berkata, siasatan mendapati sindiket ini menawarkan khidmat penstriman berbayar Astro secara haram kepada pelanggan berminat dengan harga RM39 sebulan untuk pakej penuh.

“Menerusi serbuan ini juga, kita merampas sejumlah peralatan penstriman Astro dan siaran antarabangsa, peranti server, pengekod video, perakam video serta beberapa buah piring satelit yang tidak menepati piawaian, dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan RM100,000,” katanya,

Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan jumlah pelanggan yang melanggan perkhidmatan mereka dengan kes disiasat mengikut Seksyen 43AA(1) Akta Hakcipta 1987.

Dalam pada itu, katanya masyarakat diingatkan supaya tidak melanggan sebarang aktiviti penstriman haram kerana kegiatan ini adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

“Pengguna yang cuba mencari peluang untuk mendapatkan cara mudah dan murah untuk akses kepada siaran-siaran ini, mereka juga berhadapan dengan liabiliti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini