comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pasangan kekasih dicekup khalwat, beri alasan hanya main ‘video game’

MELAKA: Hanya ingin mengajak kekasih bermain permainan video bola sepak, itu alasan yang diberikan seorang pemuda ketika ditahan berkhalwat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Melaka (JAIM) di sebuah bilik hotel di daerah Melaka Tengah, awal pagi semalam.

Pasangan terbabit adalah antara tiga pasangan berusia 19 hingga 23 tahun yang dicekup penguat kuasa JAIM kerana berkhalwat dalam operasi di empat hotel bermula 11 malam kelmarin hingga 4 pagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam serta risikan pihaknya.

“Pasangan berusia 23 tahun yang berasal dari Pahang itu mengambil masa 10 minit untuk membuka pintu bilik hotel selepas diketuk penguat kuasa JAIM ketika pemeriksaan 2.30 pagi.

“Ketika disoal siasat lelaki yang juga mekanik itu mengatakan ingin mengajak pasangannya bermain permainan video bola sepak sebelum kedua-duanya ditahan kerana berkurung di dalam bilik hotel hingga menimbulkan syak tanpa ikatan perkahwinan sah,” katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Che Sukri berkata, satu lagi pasangan penuntut universiti mendakwa datang dari Johor ke Melaka semata-mata ingin meraikan hari jadi sebelum mendaftar masuk ke hotel.

Katanya, semua pasangan itu ditahan mengikut peruntukan Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

“Tangkapan ini adalah hasil kerjasama Ahli Rakan Setiaku JAIM yang menyalurkan maklumat,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini