comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pasangan suami isteri antara 4 ditahan dalang sindiket dadah

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Empat individu termasuk sepasang suami isteri, disyaki anggota sindiket dadah ditahan dalam serbuan polis terhadap sebuah rumah tumpangan dekat Jalan Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

Dalam serbuan jam 7.41 malam itu, polis merampas 132 biji pil yaba, dadah jenis syabu sebanyak 35.89 gram dengan jumlah keseluruhan lebih RM10,000, sepucuk revolver, 50 butir peluru dan satu kelongsong.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis terhadap rumah tumpangan terbabit yang terletak di Kampung Kubang Tuman.
Beliau berkata, hasil serbuan itu, empat individu ditahan iaitu tiga lelaki termasuk dua warga negara Thailand dan seorang wanita berusia antara 29 hingga 32 tahun.

“Susulan itu, polis membuat pemeriksaan di dua bilik dan menemukan 132 biji pil yaba, satu beg yang mengandungi dadah jenis syabu, 45 butir peluru serta di dalam kabinet pakaian menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver bertulis Smith & Wesson/.38.S.&W. Special CTG, lima butir peluru dan satu kelongsong peluru.

“Kesemua barang berkenaan dirampas dan empat suspek terbabit adalah penganggur. Mereka direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 20 November ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen8 Akta Senjata 1960,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka disyaki anggota sindiket yang aktif sejak lebih setahun yang lalu.

Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine, manakala suspek wanita negatif dadah.

Muhamad Zaki berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini