comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pasangan suami isteri ditahan miliki dadah, pistol dan peluru

SOFFIAN (tengah) menunjukkan pistol bersama lima butir peluru hidup yang dirampas – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di Gelugor di sini, baru-baru ini.

Serbuan pada 23 Februari lalu itu turut menemukan beberapa jenis dadah bernilai RM30,900 selain sepucuk pistol dan lima butir peluru.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menahan suspek lelaki di perkarangan sebuah apartmen pada jam 11.45 malam.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek yang berusia 46 tahun itu menemukan sebanyak dua peket syabu dianggarkan seberat 51 gram.

“Berpandukan maklumat daripada suspek, polis kemudian menyerbu rumah di apartmen berkenaan dan menahan isterinya yang berusia 43 tahun.

“Turut dirampas ialah sembilan peket plastik mengandungi dadah jenis syabu dan heroin serta sepucuk Revolver dan lima butir peluru yang dijumpai dalam rumah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Soffian berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan benzo serta mempunyai rekod lampau berkait jenayah dan dadah.

Katanya, sindiket dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan 2022 bagi pasaran tempatan dan dijual sekitar Pulau Pinang.

“Keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 3,040 penagih dadah.

“Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga hari ini,” katanya.

“Pistol dan peluru itu sudah dihantar bagi menjalani ujian balistik dan jabatan kimia,” katanya lagi.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini