comscore
Tumpuan :
Jenayah

PDRM mohon bantuan pihak berkuasa Thailand, buru suspek lepas tembakan terhadap JKDM

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi memburu suspek yang melepaskan tiga das tembakan kepada sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bantuan itu berikutan kes berkenaan membabitkan kerjasama dua negara.

Menurutnya, susulan kejadian itu, pihaknya menerima satu laporan polis daripada JKDM pada Rabu lalu dan sedang membuat siasatan terhadap kejadian.

“Pihak polis juga sudah mendapatkan bantuan dari rakan kita (pihak berkuasa) negara jiran kerana ia membabitkan dua negara. Kerjasama itu untuk mengesan suspek dan perkongsian maklumat.

“Selain itu, kita juga akan memanggil pelbagai agensi keselamatan yang menjaga sempadan untuk membuat perbincangan termasuk bagi menyelaraskan operasi di sempadan negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini berikutan sempadan negara ini membabitkan pelbagai agensi dari segi penguatkuasaan dan mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) masing-masing.

Menurutnya, sepanjang masa ada pasukan keselamatan yang bertugas mengawal sempadan negara antara Kelantan-Thailand dan ia boleh diselaras dengan baik.

“Insiden itu mungkin membabitkan pihak JKDM secara bersendirian dan difahamkan ia membabitkan (aktiviti) penyeludupan petrol dan diesel,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sepasukan pegawai dan anggota JKDM Kelantan berdepan detik cemas apabila diancam penyeludup termasuk melepaskan tiga das tembakan, Rabu lalu.

Kejadian berlaku ketika operasi penguatkuasaan di Sungai Golok berhampiran Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor, dekat Tumpat, pada jam 9.45 pagi.

Sebaik pasukan tiba di Pangkalan Haram Pok Mat, Kampung Simpangan, sebanyak 15 bot berenjin galah sedang melakukan aktiviti pemunggahan dipercayai membabitkan petrol dan diesel.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini