comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pecah rumah, 4 warga asing ditahan polis

Antara suspek yang ditahan. Foto Ihsan Polis

AMPANG JAYA: Kegiatan sekumpulan warga asing memecah masuk rumah tidak berpenghuni di Kampung Ampang Indah, di sini, terbongkar selepas mereka ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan bekerja sebagai pengurus berhubung kejadian itu yang berlaku pada 24 Mei lalu.

“Menurut mangsa, dia dimaklumkan kakaknya jam 3.10 pagi hari kejadian untuk melihat rumah mereka di Kampung Ampang Indah.

“Sebaik tiba di rumah itu, mangsa mendapati ruang tamu dan bilik dalam keadaan berselerak dengan ada barangan hilang.

“Mangsa mengesyaki rumah itu dipecah masuk melalui tingkap bilik belakang dengan jeriji besi dipecah serta dicabut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, polis menahan empat warga asing termasuk seorang wanita berusia antara 23 hingga 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan di Kampung Tasek Permai, kira-kira 6 petang, kelmarin.

“Dalam serbuan itu, kami merampas dua telefon bimbit, satu komputer riba, satu tablet, empat jam tangan, satu tali jam tangan dan beberapa pakaian bagi membantu siasatan.

“Modus operandi suspek adalah menyasarkan perumahan teres yang tidak berpenghuni ketika melakukan pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian awal air kencing dilakukan terhadap kesemua suspek didapati positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamin.

“Semakan dilakukan juga mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan merujuk kerana pecah rumah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini