comscore
Tumpuan :
Jenayah

Peguam kes i-Serve, MyAirline dibebas dengan jaminan polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Peguam yang direman sebelum ni bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat pelaburan i-Serve dan MyAirline sudah dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 62 tahun itu diberi jaminan pada jam 9 malam di Balai Polis Pudu.

“Peguam terbabit akan dipanggil semula nanti untuk disambung rakaman percakapannya bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan empat suspek ditahan bagi siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat pelaburan i-Serve dan MyAirline dan direman antara sehari hingga empat hari.

Ramli dilaporkan berkata semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, suspek pertama seorang wanita berusia 30 tahun bekerja di i-Serve sebagai pembantu kewangan sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan rakan kongsi kepada beberapa syarikat yang dipertanggungjawab memantau, menyediakan dokumen serta menguruskan pembayaran dividen kepada pelabur.

Individu kedua ditahan wanita berusia 33 tahun yang bekerja di i-Serve secara dalam talian sejak 2013 sebagai pembantu kewangan sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat dan pengurus bendahari, bagi menguruskan kutipan jualan semua premis barang dijalankan syarikat itu.

Individu ketiga adalah lelaki berusia 48 tahun berperanan sebagai pengurus penyelidikan dan pembangunan di syarikat terbabit pada 2006 yang bertanggungjawab membuat sistem serta perisian syarikat i-Serve, selain dilantik menjadi ahli lembaga pengarah kepada beberapa anak syarikat termasuk MyAirline.

Suspek keempat adalah lelaki berusia 62 tahun berperanan sebagai peguam i-Serve.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini