comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pekebun rugi RM112,000 ditipu lelaki menyamar pegawai polis

 

 

Foto hiasan

BATU PAHAT: Seorang pekebun kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya individu menyamar pegawai polis, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 56 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kononnya terdapat bungkusan atas nama mangsa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata ‘pegawai polis’ itu memberitahu bungkusan itu mengandungi kad pengenalan dan kad bank mangsa.

Katanya lagi, individu itu juga memberitahu mangsa akan ditangkap jika maklumat tersebar memandangkan ia sulit dan persendirian.

“Terpedaya dengan kata-kata suspek, mangsa kemudian berhubung dengannya melalui WhatsApp dengan tujuan untuk menyelesaikan perkara itu.

“Pada masa sama, suspek menyarankan mangsa membuat laporan polis secara dalam talian serta bayaran untuk diaudit oleh Bank Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, mangsa membuat 16 transaksi ke dalam empat akaun bank yang berbeza berjumlah RM112,000.

Selain itu, katanya, mangsa juga diminta mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memasukkan dalam akaun bank diberikan suspek.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menuruti arahan itu dan mula tersedar ditipu lalu membuat laporan polis.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati termasuk membuat semakan nombor telefon dan akaun bank diberikan mana-mana individu.

“Jika terjebak dengan penipuan seperti ini, mereka diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebagai tindakan awal menyekat pengaliran keluar wang daripada akuan suspek,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini