comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pelajar sekolah dikesan jadi tokan dadah

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah yang menjadi tokan dadah antara 5,791 individu ditahan dalam serbuan menerusi Op Tapis Khas yang dijalankan serentak di seluruh negara.

Pelbagai dadah dan barangan keseluruhan bernilai RM1.55 juta dirampas serta disita dalam serbuan itu yang dijalankan pada Isnin sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, operasi dengan kekuatan 2,281 pegawai dan anggota menggempur kawasan Felda, Felcra, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Rakyat (PPR), sekatan jalan raya dan jeti nelayan.

“Sepanjang operasi dijalankan seramai 6,061 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 5,791 individu berusia antara 14 hingga 80 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 3,226 penagih dadah termasuk empat penjawat awam dan dua pelajar sekolah, 534 tokan termasuk seorang pelajar, 247 individu dikehendaki dan 1,784 individu termasuk empat penjawat awam atas lain-lain kesalahan.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, JSJN ujarnya turut merampas 128.3 kilogram dan 16,076 liter pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM610,071.39.

Selain ipelbagai aset seperti kenderaan, barangan kemas, jam tangan dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM934,972.31 dirampas serta disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

JSJN tegasnya akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Orang ramai diminta membantu menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini