KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kereta yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis, berjaya ditahan selepas dikejar lebih dua kilometer hingga ke Jalan Indah 3, Kampung Ampang, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata terdahulu pasukan kereta peronda (MPV) Polis Daerah Ampang Jaya terserempak dengan sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Bukit Ampang sekitar jam 8.02 malam.
Beliau berkata, anggota kemudian mengarahkan kereta jenis Proton Waja itu berhenti untuk tujuan pemeriksaan di Jalan Persiaran Ampang, namun pemandunya enggan dan bertindak memecut kenderaan untuk melarikan diri.
“Susulan itu, pasukan MPV polis mengejar kereta terbabit dengan dibantu tiga lagi MPV polis. Setiba di Jalan Indah 3, Kampung Ampang, suspek bertindak melanggar salah sebuah MPV polis berkenaan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu rosak dan terhenti.
“Anggota polis akhirnya berjaya menahan pemandu kereta terbabit dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Azam berkata, hasil semakan mendapati suspek adalah seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan tidak bekerja, selain mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta suspek pula, polis menjumpai satu beg yang mengandungi sepucuk pistol mainan.
“Motif kejadian ini adalah disebabkan suspek enggan menjalani pemeriksaan polis dan bertindak melarikan diri,” katanya sambil memaklumkan keputusan ujian saringan awal air kencing lelaki itu didapati negatif.
Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Ampang, hari ini, untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan lelaki itu direman selama empat hari hingga 3 Disember ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang tugas penjawat awam, dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960, iaitu memiliki senjata palsu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azam sekali lagi menafikan berlaku kejadian tembakan membabitkan tangkapan itu sebagaimana dakwaan tular dalam media sosial.
“Kita meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar bersabit kejadian itu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.