Tumpuan :
Jenayah

Pemandu lolos, tinggalkan syabu 200kg bernilai RM6 juta dalam kereta

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

SETIU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu menemui dadah jenis Syabu seberat 200 Kilogram (kg) bernilai RM6 juta yang ditinggal dalam sebuah kenderaan jenis Toyata Vellfire di tepi jalan Kampung Guntong Luar, di sini.

Rampasan terbesar yang dibuat Polis Terengganu itu hasil maklumat awal dari orang awam membabitkan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mkohd Khairi Khairudin, Vellfire berwarna hitam itu membawa dadah berkenaan dari Kelantan.

Kira-kira jam 11.45 kelmarin, pihaknya berjaya mengesan kenderaan itu di Kampung Bintang, Setiu menuju ke Kuala Terengganu.

Ketika diekori polis di Simpang Agro Resort, kenderaan itu hilang dan ditemui semula selepas terbabas di Kampung Guntong Luar.

Bagaimanapun, pemandu kenderaaan berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati, di dalam Vellfire terdapat lapan guni berwarna putih di mana setiap guni mengandungi 25 paket plastik lutsinar berwarna hijau yang mengandungi dadah jenis Syabu.

“Dadah yang dirampas ini dipercayai untuk diedarkan di Lembah Klang dan untuk kegunaan lebih daripada 200 ribu penagih dadah”, katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Setiu.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sindiket itu didalangi lebih daripada seorang suspek yang berjaya meloloskan diri.

Katanya lagi, usaha mengesan supek giat dijalankan ketika ini.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu juga mendapati nombor enjinnya telah diubah suai dan menggunakan nombor pendaftaran palsu, pihak kami juga telah membuat pemeriksaan cap jari untuk mengesan suspek”, ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen Akta Dadah berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini