comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemandu van ditahan seleweng diesel di stesen minyak

KPDN menemui dua unit tangki fiber IBC berisi minyak diesel dalam van yang ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Pegawai. – FOTO: Ihsan KPDN

ALOR SETAR: Hasil maklumat dan aduan orang awam, seorang lelaki ditahan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah kerana disyaki menyeleweng minyak diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Pegawai di sini.

Lelaki berusia 32 tahun yang juga pemandu sebuah van bernombor pendaftaran tempatan itu ditahan hasil pemeriksaan Op Tiris dari jam 4 petang semalam hingga tengah malam tadi .

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata,  pemeriksaan lanjut menemui dua unit tangki fiber IBC yang berisi minyak diesel.

“Hasil soal siasat, pemandu tidak mempunyai apa-apa kebenaran bertulis berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.

“Anggota penguat kuasa kemudian menyita sejumlah minyak diesel dianggarkan 650 liter yang ditemukan di dalam tangki IBC berkenaan, dan van itu disyaki digunakan untuk penyelewengan minyak diesel itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Affendi berkata, beberapa dokumen berkaitan turut disita, manakala pemandu van itu ditahan.

Beliau berkata, nilai rampasan minyak diesel adalah RM1397.50, manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM6,697.50.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Loading...
Terkini