comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pembantu Tadbir Kerugian Lebih RM125,000 Ditipu Macau Scam

Gambar Hiasan

ALOR SETAR : Seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu tadbir kerugian lebih RM125,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang mengatakan kononnya mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram dan dadah, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa yang berumur 46 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Noraini Binti Hj Daud’ dan mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Suspek telah memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,600 dan mangsa perlu membuat pembayaran sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang serta mengelakan akaun banknya daripada dibekukan.

“Mangsa yang tinggal di Jitra, dekat sini kemudiannya telah disambungkan kepada suspek lain yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan telah memaklumkan mangsa bahawa akaun bank miliknya terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah berjumlah RM2.28 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Elias berkata mangsa yang berasa takut selepas beberapa kali menerima panggilan sama daripada suspek telah membuat pinjaman wang daripada bank sebanyak RM120,000 bagi membuat pembayaran kepada suspek.

“Suspek juga telah mengarahkan mangsa untuk membuat kad ATM yang baharu serta membatalkan perbankan dalam talian miliknya. Mangsa kemudian diminta untuk mengisi maklumat peribadi serta butiran kad ATM melalui pautan dan kata laluan yang dihantar oleh suspek.

“Pada 26 Januari lepas, mangsa telah menghubungi suspek untuk bertanyakan mengenai siasatan berkenaan. Mangsa yang tidak berpuas hati telah membuat semakan di bank dan mendapati sebanyak 13 transaksi telah dilakukan daripada akaunnya ke akaun pihak ketiga berjumlah RM125,498,” katanya.

Beliau berkata mangsa yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis pada hari sama di Balai Polis Jitra dan kes disiasat di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan.

Elias berkata kes itu merupakan kerugian tertinggi yang dicatatkan bagi bulan ini setakat ini dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mereka yang menyamar sebagai pihak polis atau badan penguat kuasa lain.

“Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan bagi mengetahui kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau mendapatkan maklumat mengenai modus operandi jenayah komersial di https://www.facebook.com/JSJKPDRM/,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini