comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pembantu tadika rugi RM167,525 dikebas Macau Scam

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu tadika di sini menanggung kerugian RM167,525 selepas ditipu sindiket Macau Scam sejak Januari lalu.

Kejadian dipercayai bermula apabila mangsa berusia 56 tahun menerima panggilan daripada individu tidak dikenali mendakwa sebagai pihak insurans.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata suspek memaklumkan mangsa pernah membuat tuntutan insurans sebanyak RM68,000 kerana dimasukkan ke wad namun mangsa menafikan perkara berkenaan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihubungi ‘polis’ yang mengaku dari Selangor sebelum dimaklumkan terbabit dalam pengubahan wang haram dan rasuah.

“Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada ketua polis balai yang bertindak bertanya beberapa maklumat peribadi sebelum dia sekali lagi menerima panggilan daripada pihak pendakwa raya.

“Mangsa diminta memindahkan semua wang ke dalam satu akaun miliknya dengan nombor talian akaun itu sudah ditukar manakala nombor pinnya juga diberikan pihak suspek sambil memaklumkan wang milik mangsa akan dijaga pihak Bank Negara.

“Suspek juga mengarahkan mangsa memadamkan setiap transaksi panggilan berkenaan dan mangsa memaklumkan memindahkan semua wangnya ke dalam satu akaunnya seperti diarahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menceritakan kejadian berkenaan kepada anak saudaranya ketika dia mahu meminjam wang bagi menyelesaikan masalah dihadapinya.

Katanya, siasatan mendapati wang mangsa dipindahkan secara berperingkat ke akaun tidak dikenali bermula 26 Januari hingga 9 Mac lalu membabitkan kerugian sebanyak RM167,525.

“Mangsa membuat laporan polis pada 19 Mac lalu untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Abdul Rahim turut mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku daripada mana-mana agensi kerajaan atau bank.

Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya panik sekiranya menerima panggilan sedemikian dan diminta membuat semakan dengan pihak yang berkenaan terlebih dahulu selain tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat peribadi dan perbankan kepada individu tidak dikenali.

Loading...
Terkini