comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemilik bengkel alat gantian kenderaan ditahan cuba rasuah polis

Foto hiasan

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan kerana cuba merasuah anggota polis susulan premis jual alat ganti kenderaan miliknya beroperasi tanpa lesen sah di Kampung Tok Bok, Kuala Krai semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata pemilik premis berumur 51 tahun itu cuba merasuah anggota polis sebanyak RM200 sebagai tindakan untuk melepaskan pekerjanya, namun polis telah menolak.

Beliau berkata anggotanya memberi amaran kepada suspek bahawa perbuatannya adalah salah dan boleh ditahan di bawah Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tetapi tidak diendahkan.

“Pemeriksaan dokumen pengenalan diri terhadap seorang pekerja di premis itu mendapati pekerja terbabit telah menyalahgunakan permit pekerjaan iaitu dalam bidang pertanian dengan sebuah syarikat di Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Justeru, lelaki itu dan pekerjanya berumur 25 tahun ditahan di bawah Akta SPRM dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mazlan berkata pihaknya tidak berkompromi dengan isu integriti terhadap individu yang cuba menawarkan rasuah kepada anggota polis serta akan terus mempamerkan kualiti perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini