comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemilik premis haram ditahan, jadi orang tengah rasuah penguat kuasa 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan reman seorang pemilik premis haram kerana disyaki menjadi ‘orang tengah’ yang mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguat kuasa.

Perintah reman selama empat (4) hari sehingga 17 Jun 2024 terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 60-an dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut sumber, suspek dipercayai menjadi ‘orang tengah’ atau perantara yang mengumpul wang-wang rasuah daripada beberapa premis perniagaan haram seperti rumah urut, pusat hiburan dan premis di ibu negara.

“Wang yang dikumpul kemudian akan diagihkan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) selain kepada anggota sebuah lagi agensi penguat kuasa lain.

“Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, suspek telah ditahan sekitar Kuala Lumpur kira-kira jam 6.45 petang semalam.

“Susulan tangkapan itu juga, SPRM turut menemui dan menyita wang berjumlah hampir RM400,000 yang dipercayai telah dikumpul untuk diedarkan kepada pegawai serta anggota-anggota penguat kuasa.

“Tangkapan ini juga adalah susulan penahanan empat individu termasuk seorang Timbalan Pengarah PBT pada 7 Jun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini