comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemuda patah kaki kejar peragut rantai leher awek

Kejadian tular seorang lelaki mengejar dan bergayut pada motosikal peragut yang melarikan rantai leher teman wanitanya di Jalan 4/62a, Bandar Sri Menjalara, Kuala Lumpur semalam. Tangkap layar daripada foto tular.

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda patah kaki kanan selepas terjatuh ketika berusaha untuk mengejar peragut rantai leher teman wanitanya.

Kejadian berlaku di Jalan 4/62a, Bandar Sri Menjalara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, seorang wanita berusia 23 tahun membuat laporan berhubung insiden ragut rantai leher itu sekitar jam 2.22 petang.

Menurutnya, ketika kejadian wanita terbabit bersama teman lelakinya sedang berjalan di tepi kaki lima kedai namun diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal.

Terkejut dengan kejadian itu, teman lelaki mangsa terus mengejar peragut terbabit.

“Teman lelaki pengadu berjaya membonceng di belakang motosikal suspek, namun suspek bertindak memecut motosikalnya sehingga mangsa terjatuh dan terhentak di bahagian kepala serta patah kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Sukarno, mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini masih dalam trauma.

Pada masa sama, Ahmad Sukarno memaklumkan pihaknya mengesan beberapa klip video berkenaan insiden itu di media sosial.

“Orang awam diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta menyebarkan maklumat yang tidak tepat berkenaan insiden ini.”

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini