comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pencuri kabel pecut kereta sebelum terbabas, cuba lari dari polis

Kabel yang dipercayai dicuri dirampas semula daripada dua suspek ketika pemeriksaan ke atas dua kenderaan di Bandar Baru Nilai, di sini, awal pagi semalam.

NILAI: Dua lelaki yang disyaki mencuri kabel bertindak memecut kereta dinaiki masing-masing sejauh dua kilometer sebelum terbabas di Bandar Baru Nilai, di sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan kira-kira jam 4. 30 pagi, seorang daripada suspek berjaya ditahan, manakala seorang lagi melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian itu berlaku ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) melakukan rondaan di Persiaran Korporat, di sini, dan melihat dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis mengarahkan kenderaan berkenaan berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju dan melarikan diri.

“Kenderaan dipandu suspek berjaya dikejar sejauh lebih kurang dua kilometer sebelum ia terbabas di Bandar Baru Nilai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Malik berkata, berikutan itu seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaannya menjumpai empat gulung kabel berwarna hitam, sebuah telefon bimbit dan satu kad pengenalan.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek membawa kabel yang baru dicuri sebelum ditahan. Turut dirampas adalah dua kenderaan dan satu alat kawalan jauh kereta.

“Semakan rekod lampau ke atas suspek mendapati dia mempunyai tiga rekod membabitkan kesalahan narkotik,” katanya.

Katanya, suspek direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Peraturan 25(1)(o) Peraturan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Loading...
Terkini