comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penemuan rangka manusia di tepi jalan, polis tunggu laporan bedah siasat

KALABAKAN: Susulan penemuan satu rangka manusia di tepi jalan berhampiran sebuah ladang, di Bukit Tukok, dekat sini pagi tadi, polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan kes terbabit.

Difahamkan, rangka dalam keadaan terlentang dengan kesan seolah-olah dibakar ditemukan penduduk yang melalui kawasan itu sebelum memaklumkannya kepada polis kira-kira jam 9.30 pagi.

Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang petunjuk berhubung identiti mangsa termasuk jantinanya.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.

Katanya, kes berkenaan masih dalam peringkat siasatan awal Balai Polis Kalabakan dan rangka berkenaan sudah dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan masih menunggu laporan hasil bedah siasat,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta supaya tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Penemuan rangka itu turut tular di media sosial.

Loading...
Terkini