comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penganggur ditahan bersama 4 guni pil kuda bernilai RM2.57 juta

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (kanan) menunjukkan rampasan 234,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM2.57 juta ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. – Foto NSTP

KOTA BHARU: Polis berjaya menahan seorang penganggur bersama 234,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM2.57 juta dalam sebuah kenderaan di Pasir Mas, dekat sini.

Tangkapan dibuat jam 11 malam Sabtu lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dalam Op Tapis Khas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika serbuan, suspek sedang berdiri di luar kereta Proton Perdana dipercayai menunggu pelanggan.

“Pemeriksaan di bahagian bonet kereta menemui empat bungkusan berwarna putih mengandungi 234,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM2.57 juta,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, ujian saringan yang dibuat terhadap lelaki berusia 26 tahun itu bagaimanapun negatif dadah dan suspek juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, pil kuda itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan pihaknya sudah mengenalpasti serta sedang mengesan pembeli dadah terbabit.

“Kita juga membuat siasatan lanjut sama ada terdapat rangkaian kumpulan lain juga terbabit dengan pengedaran dadah itu.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 September untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seramai 620 individu berusia antara 16 hingga 60 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang Op Tapis Khas yang dilancarkan bermula 13 hingga 26 September di seluruh negeri.

Muhamad Zaki berkata, sebanyak 512 kes dicatatkan dengan rampasan dadah sebanyak RM2.78 juta dihasilkan manakala jumlah sitaan pula RM121,114.18.

“Jumlah dadah yang dirampas ini jika berjaya diedarkan, boleh digunakan oleh seramai 250,286 penagih,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini