comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penganggur ditahan selepas 8 kali samun kedai serbaneka

Farouk Eshak (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPD Ampang Jaya.

AMPANG JAYA: Seorang penganggur yang terdesak mencari wang mudah untuk membeli dadah dan menyara hidup dengan menyamun kedai-kedai serbaneka, akhirnya ditangkap polis dalam serbuan di Pandan Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada jam 8.30 malam Khamis lalu, kira-kira 12 jam selepas dia menyamun sebuah kedai serbaneka di Pandan Perdana di sini.

“Kira-kira jam 9 pagi Khamis, suspek masuk ke kedai, berpura-pura mahu membeli rokok dan sebaik buat pembayaran, suspek terus melompat masuk ke tempat pekerja kaunter.

“Dia mengugut pekerja kaunter dengan pisau supaya menyerahkan wang dalam mesin tunai, selain mengambil beberapa kotak rokok sebelum melarikan diri dengan motosikal,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mohamad Farouk berkata, siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam empat lagi kes samun menggunakan modus operandi sama di Ampang Jaya dan tiga kes serupa di daerah Cheras.

“Suspek yang tidak bekerja aktif melakukan kegiatan itu sejak bulan lalu dan menggunakan wang hasil samun untuk menyara hidup serta membeli dadah. Ketika disoal siasat, dia mendakwa pernah bekerja di sebuah kedai serbaneka dan pernah menjadi mangsa samun ketika bekerja di situ.

“Selepas kejadian itu, suspek mula berjinak-jinak melakukan samun dengan cara sama, mensasarkan kedai-kedai serbaneka terutama yang beroperasi 24 jam dan bergerak pada lewat malam serta awal pagi ketika tiada pelanggan,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah, namun ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kita turut merampas pisau dan pakaian digunakan suspek semasa melakukan samun, wang tunai RM54, telefon bimbit serta sebuah motosikal Yamaha LC135 milik suspek. Dia direman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini