Tumpuan :
Jenayah

Pengarah syarikat rugi lebih RM1 juta, jadi mangsa penipuan panggilan telefon

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat kerugian lebih RM1 juta selepas mendakwa ditipu individu menggelarkan diri sebagai ‘Inspektor Harun’.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan semalam, dibuat seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang mendakwa menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon.

Menurutnya, mangsa mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM1,140,320 selepas menerima panggilan telefon daripada sebuah syarikat penghantaran, kira-kira jam 3 petang, 31 Oktober lalu.

“Individu yang memperkenalkan diri dari syarikat penghantaran itu memaklumkan kepada mangsa bahawa terdapat bungkusan atas namanya yang dikatakan mengandungi buku cek dan ‘token’ bank.

“Mangsa menafikan ada membuat permohonan, lalu panggilan terus disambungkan kepada polis untuk mangsa membuat laporan penafian.

“Mangsa bercakap dengan ‘Inspektor Harun’ dan diberitahu terdapat kad visa miliknya dijumpai dan kad didapati terbabit dalam kes penipuan serta penggubahan wang haram,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Kumar berkata, mangsa diarahkan untuk memindahkan semua wang ke akaun lain bagi tujuan siasatan Bank Negara.

Katanya, oleh kerana takut dan bimbang dikenakan tindakan undang-undang, mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM1,140,320 ke akaun bank yang diarahkan oleh ‘pegawai polis’ itu.

“Mangsa menyedari ditipu apabila diarahkan lagi membuat pindahan wang walaupun sejumlah wang sudah dipindahkan sebelum itu, lalu membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Loading...
Terkini