Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PETALING JAYA : Pengasuh yang dipercayai memulas paha kanan bayi empat bulan, Nur Qaseh Neliya Faridzuwan sehingga patah ketika berada dalam jagaannya akan dituduh di Mahkamah Sepang esok.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof kepada Buletin TV3.
“Esok akan tuduh pengasuh (22 November) di Mahkamah Sepang dalam jam 9 pagi. Pertuduhan dibawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001”, katanya.
Dalam perkembangan sama, pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Afiq Norizan memaklumkan, suspek telah dipanggil memberi keterangan di IPD Sepang Jumaat lalu (17 November).
“Tiada penahanan dibuat. Kami telah memanggil wanita berusia 25 tahun itu pada 17 November untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. Reaksinya seperti takut-takut, dan cuba mempertahankan diri dan cakap bayi itu cedera disebabkan menggeliat”, katanya.
Bapa mangsa, Faridzuwan Kamaruddin sebelum ini memberitahu, kejadian berlaku 15 November lalu, apabila dia dihubungi pengasuh anaknya kira-kira jam 5:45 petang yang memaklumkan kaki anaknya patah ketika cuba menggeliat.
Bayi itu kemudian dibawa ke hospital pakar di Bandar Baru Bangi untuk pemeriksaan lanjut.
Petugas hospital yang melakukan X-Ray bagaimanapun memaklumkan, kecederaan dialami bukan disebabkan menggeliat atau terjatuh, tetapi mungkin dipulas.
Nur Qaseh seterusnya dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut yang mana doktor di situ turut mendedahkan bahawa kecederaan dialami disebabkan perkara sama selain mempunyai unsur penderaan.